Siapakah wanita yang akan menjadi ahli syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita untuk memasuki syurga? Sebuah hadis nabi SAW menyatakan,
Daripada Anas r.a, nabi SAW bersabda yang bermaksud,
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, puasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai. [HR: Ahmad]
Menurut hadis di atas, sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita Muslimah memasuki syurga iaitu :
MENUNAIKAN KEWAJIPAN KEPADA ALLAH SWT
Menunaikan kewajipannya kepada Allah SWT dalam makna melaksanakan badah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan. Sebuah hadis menyebut bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari kiamat.
Dari Abu Hurairah r.a, nabi SAW bersabda yang bermaksud,
"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang, sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia. Dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang. Allah berfirman, "Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain." -[ HR: At-Tirmizi ]-
BERPUASA
Berpuasa sepanjang bulan Ramadan adalah kewajipan yang akan memudahkannya untuk masuk ke syurga dari arah pintu mana sahaja yang dia sukai. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh lelaki. Ini menunjukkan Allah SWT meninggikan martabat dan darjat wanita solehah selama mereka menunaikan perintah Allah SWT dan menjaga diri dari segala yang diharamkan ke atas mereka.
MENJAGA KEHORMATAN DIRI
Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan dalam hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh dikategorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." -[HR:Baihaqi]-
Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu.
MENUNAIKAN HAK SUAMI
Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan di dalam hadis di atas. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib disempurnakan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bazzar, nabi SAW bersabda yang bermaksud,
"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." -[HR:Imam Al-Bazzar]-
Isteri adalah pusat serta sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumah tangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak. Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumah tangga. Dalam hal ini, para isteri akan sentiasa bersikap baik kepada suami.
Sayidina Abu Bakar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,
"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."
Selain itu, Sayidina Ali r.a meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.
"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya." -[ HR: Ibnu Majah dan An-Nasai ]-
Berdasarkan huraian di atas, para wanita semestinya mengamalkan sikap taat dan bertaqwa kepada Allah SWT, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT iaitu masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dia sukai. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment